Kepercayaan ini menyebabkan pesakit menemui maut kerana tidak diberi rawatan sewajarnya
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
BERAPA kali anda mendengar berita orang terkena santau menyebabkan mereka batuk tidak berhenti sehingga berdarah?
Daripada satu sudut, individu berkenaan mungkin benar-benar terkena santau, tetapi pernahkah anda terfikir gejala ditunjukkan itu disebabkan jangkitan kuman penyakit berjangkit?
Gejala batuk yang teruk dan berlanjutan melebihi dua minggu sehingga kadangkala berdarah antara petanda penting kepada penyakit tibi atau tuberkulosis (dulu dipanggll batuk kering).
Malangnya, masih ada segelintir masyarakat, terutama di luar bandar, menganggapnya sebagai santau kerana berkongsi gejala sama.
Kepercayaan ini menyebabkan pesakit tibi menemui maut kerana tidak diberi rawatan sewajarnya. Tibi boleh dianggap penyakit sepanjang zaman yang kurang popular.
Walaupun wujud berabad lalu, ia masih menjadi antara penyakit berjangkit utama di seluruh dunia, termasuk di negara kita.
Penyakit tibi memang menakutkan. Biasanya apabila diketahui seseorang menghidap tibi, orang di sekelilingnya mula menjauhkan diri. Ramai bimbang mereka juga dijangkiti penyakit ini.
Sebenarnya kebimbangan ini ada asasnya kerana kuman tibi disebarkan melalui
udara iaitu apabila pesakit batuk.
Secara umumnya, pesakit tibi disaran bercuti selama enam bulan untuk menjalani rawatan dan elak ada di tempat umum, khususnya pada dua bulan pertama selepas mendapat jangkitan, kerana ketika ini penyakit paling
mudah berjangkit.
Memang tibi bukan penyakit popular. Justeru, tidak hairan ramai generasi muda tidak tahu mengenai penyakit ini, bagaimanapun ia masih perlu diberikan perhatian serius kerana tibi sebenarnya ada kaitan rapat dengan virus HIV.
Banyak kajian menunjukkan peningkatan kes tibi saling berkait dengan pertambahan kes jangkitan HIV atau sebaliknya. Individu yang dijangkiti HIV berisiko tinggi mendapat tibi kerana sistem imun badan mereka yang lemah tidak mampu melawan jangkitan bakteria.
Tibi adalah penyakit sebaran udara disebabkan bakteria Tubercle bacilli. Biasanya, ia menyerang paru-paru (dikenali sebagai sebagai tibi pulmonari).
Bagaimanapun, bakteria ini juga boleh menjejaskan sistem saraf tunjang (menyebabkan meningitis), sistem limfatik, aliran darah, tulang dan sendi yang akan membawa maut jika tidak dirawat segera.
Tibi tidak hanya berlaku di negara membangun kerana negara maju turut mencatatkan jumlah kes tinggi disebabkan ramai pesakit gagal mematuhi jadual rawatan lama iaitu sehingga enam bulan bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada kuman tibi.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan di Rantau Asia Pasifik, dalam setiap jam seramai 100 orang dijangkiti dan 35 pesakit meninggal dunia akibat tibi. Di Malaysia pada 2005, setiap hari 45 orang disahkan menghidap tibi, dengan empat kematian setiap hari.
Di kalangan penyakit berjangkit, tibi termasuk dalam kategori tiga penyakit pembunuh utama dan walaupun pelbagai usaha dilakukan, kesedaran masyarakat terhadap tibi masih rendah. Ia jelas berdasarkan jamlah kes tahunan yang semakin bertambah dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
Pada 1996 sebanyak 12,902 kes dicatatkan diikuti 14,908 kes (1999), 15,912 kes (2003), 13,429 kes (2004), 14,417 kes (2005) dan 16,665 kes pada 2006. (Rujuk jadual 1). Manakala pecahan kes (berdasarkan data 2005), empat negeri yang mencatat kes tertinggi ialah Sabah dengan 3,319 kes diikuti Selangor (1,986), Sarawak (1,502) dan Kelantan (1,150).
|
“Pesakit tibi pulmonari aktif mengalami gejala batuk yang teruk. Bakteria tersebar apabila mereka batuk. Pada setiap titisan air liur yang tersembur ketika batuk mengandungi beberapa ribu bakteria"
>Datuk Seri Yeop Junior Yeop Adlan
_Presiden MATPB |
|
|
Malah, penyakit ini lebih lazim berlaku pada golongan berpendapat rendah, terutama di luar bandar, hidup dalam persekitaran kurang bersih dan kurang pengetahuan terhadap penjagaan kesihatan, kata Presiden Persatuan Bagi Mencegah Penyakit Tibi Malaysia (MATPB), Datuk Seri Yeop Junior Yeop Adlan.
"Pesakit yang menghidap tibi pulmonari aktif mengalami gejala batuk yang teruk. Bakteria tersebar apabila mereka batuk dan pada setiap titisan halus air liur yang
tersembur ketika batuk mengandungi beberapa ribu bakteria.
"Bakteria boleh terapung di udara buat beberapa ketika dan orang yang menyedut titisan halus ini (melalui pernafasan) berisiko mendapat jangkitan serta menghidap penyakit tibi.
"Individu yang mengalami tibi pulmonari aktif boleh menyebarkan bakteria dengan mudah kepada orang sekeliling apabila mereka batuk atau bersin.
"Ini sebabnya pesakit tibi dinasihatkan bercuti selama enam bulan dan disaran tidak bergaul rapat dengan ahli keluarga, terutama pada dua bulan pertama selepas mendapat jangkitan, kerana ketika ini bakteria sangat aktif dan paling mudah berjangkit," katanya sempena sambutan hari tibi peringkat kebangsaan.
Lebih membimbangkan ialah pertambahan kes tibi tahunan. Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada masalah ini ialah:
• Sikap masyarakat yang kurang mengambil tahu atau peka terhadap penyakit.
• Kegagalan pesakit mematuhi jadual rawatan seperti disarankan WHO.
• Kemasukan pekerja asing dari negara yang 'kaya' kes tibi (dan mungkin menjadi pembawa kuman tibi) seperti India, Pakistan, Nepal, Sri Lanka, Indonesia,
Thailand dan China. Ini boleh disebabkan kemasukan pekerja asing secara haram
atau berlaku pemalsuan sijil kesihatan di negara asal pekerja kerana individu yang disahkan menjadi pembawa tidak dibenarkan bekerja di negara lain.
• Pertambahan kes HIV/Aids.
Gejalanya |
> Batuk teruk yang lama sehingga dua minggu atau lebih.
> Kahak kadangkala mengandungi darah.
> Demam dan kadangkala berpeluh, terutama pada waktu petang dan malam.
> Berasa penat dan lemah.
> Dada berasa sakit, terutama apabila batuk atau menarik nafas panjang.
> Hilang selera makan.
> Berat badan menurun. |
Kumpulan berisiko |
> Individu yang dijangkiti virus HIV.
> Individu yang mendampingi pesakit tibi (kes lebih tinggi berlaku di kalangan gotongan berpendapatan rendah yang berkongsi bilik beramai-ramai).
>Rakyat daripada negara yang mempunyai kadar jangkitan tibiyang tinggi.
> Individu yang kekurangan zat.
> Sesetengah bangsa dan etnik minoriti. |
Jadual 1 |
Tahun
1996
1907
1998
1999
2000
2003
2004
2005
2006 |
Jumlah kes
12,902
13,539
14,150
14,908
15,051
15,912
15,429
14,417
16,665
|
Sumber: Unit tibi/kusta, Kementerian Kesihatan |
Gejala tibi
Pembawa kuman tibi tidak mengalami masalah kesihatan atau gejala. Sebenarnya ramai menjadi pembawa tanpa disedari. Di India contohnya, dianggarkan lebih 400 juta rakyatnya menjadi pembawa kuman tibi.
Rawatan
Meskipun rawatan tibi ada sejak 50 tahun lalu, ia masih menjadi penyakit berjangkit utama di negara kita. Masalah ini berpunca daripada sikap pesakit yang tidak mematuhi jadual pengambilan ubat seperti disarankan doktor.
"Keadaan itu sebenarnya memberi peluang bakteria menjadi berdaya tahan terhadap ubat yang digunakan sekarang, menyebabkan pesakit memerlukan ubat lebih kuat untuk membunuh bakteria tibi.
"Maknanya jika pesakit diserang semula, dia memerlukan ubat lebih kuat kerana
ubat sedia ada tidak mampu lagi membunuh bakteria dalam badan," katanya.
WHO menyarankan Rawatan Pemantauan Terus (DOTS) diamalkan secara serius kerana kaedah ini menunjukkan peratus kejayaan penyembuhan tinggi sehingga 100 peratus jika lakukan secara serius dan efektif.
Berdasarkan strategi DOTS, di negara kita pesakit perlu menjalani rawatan selama enam bulan. Rawatan dimulakan dengan pengambilan empat jenis ubat harian yang perlu dimakan di depan kakitangan perubatan selama dua bulan.
Ini diikuti rawatan dua kali seminggu selama empat bulan. Dalam tempoh ini, pesakit perlu mengambil tiga jenis ubat di depan pemerhati kesihatan yang akan merekodkan semua dos rawatan dan perlu disahkan seorang penyelia.
Jika rawatan ini dipatuhi, pesakit boleh sembuh sepenuhnya daripada tibi. Malangnya ramai pesakit gagal mematuhi aturan rawatan dan kebanyakannya berhenti mengambil ubat selepas dua atau tiga bulan iaitu apabila berasa sihat.
Dalam tempoh dua bulan pertama, ahli keluarga tidak digalakkan berkongsi bilik
dan pinggan mangkuk dengan pesakit. Pencegahan Penyakit Tibi boleh dilakukan melalui suntikan Bacillus Calmette-Guerin (atau BCG) seperti diberi kepada bayi baru lahir.
Jika tiada bekas parut pada suntikan, individu berkenaan perlu mendapatkan suntikan dos kedua ketika berumur 12 tahun. Walaupun diberi imunisasi ketika kecil, individu yang dijangkiti virus HIV juga berisiko tinggi mendapat tibi.
Selain itu, buka tingkap supaya rumah dimasuki cahaya matahari sebanyak mungkin. Cahaya matahari dapat membantu membunub kuman tibi yang terapung di udara dan menggalakkan peredaran udara. Peredaran udara yang sempurna membantu mencegah tibi daripada merebak.
“Pesakit tibi dinasihatkan bercuti selama enam bulan dan disaran tidak bergaul rapat dengan ahli keluarga, terutama pada dua bulan pertama selepas mendapat
jangkitan, kerana ketika ini bakteria sangat aktif dan paling mudah berjangkit“
>Datuk Seri Yeop Junior Yeop Adlan
_Presiden MAPTB |
Beban tibi
Kebanyakan pesakit tibi adalah golongan berpendapatan rendah dan mungkin
kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh rawatan.
Justeru, MAPTB menawarkan bantuan kewangan daripada RM20 hingga RM 100 sebulan bagi mereka yang layak. Bagaimanapun, rata-rata pesakit hanya menerima antara RM20 hingga RM30 kerana peruntukan diberi terhad.
Peruntukan ini yang ditetapkan sejak 50 tahun lalu kurang praktikal kerana terlalu rendah dan tidak dapat meringankan beban pesakit, walaupun rawatan diberi secara percuma di semua hospital kerajaan.
Tahun lalu saja, MAPTB mengeluarkan bantuan berjumlah RM532,271 kepada
6,844 pesakit melebihi peruntukan kerajaan sebanyak RM480,000 saja.
Peruntukan ini boleh dikurangkan dengan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat, termasuk pengamal perubatan sendiri terhadap tibi.
Sehubungan itu, MAPTB akan menganjurkan Persidangan Pertama Jangkitan Tibi/HIV Rantau Asia Pasifik pada 2 hingga 5 Ogos depan yang dijangka dihadiri 500 peserta dari 22 negara.
Bagi mendapatkan keterangan lanjut, boleh melayari laman web www.tibi2007.com atau www.maptb.org.my. Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke maptb@po.jaring,my atau 03-22743070.
|